12 September 2015

JEBAT PENDERHAKA - UNTIL THE LAST REBEL (Dari Laman FB Harimau Malaya)

Tanggal 8 September lepas, Malaysia menyaksikan lahirnya Hang Jebat versi bolasepak. Hang Jebat yang dulunya setia, tiba-tiba mengamuk melakukan onar kepada landskap bolasepak Negara.
Tidak seperti sejarah Kesultanan Melaka di mana ramai yang terbunuh, amukan Jebat di Stadium Shah Alam hanya sekadar memberi satu ‘lempangan’ yang hebat kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Watak protagonis yang dimainkan oleh Ultras Malaya selama 8 tahun berubah menjadi antagonis selepas bolasepak Malaysia dihina 10-0 oleh UAE minggu lepas, kekalahan terburuk dalam sejarah bolasepak Negara. Skuad Harimau Malaya juga dibelasah 6-0 oleh Oman dan Palestine pada tahun ini.
Sebelum itu, kemerosotan bolasepak kita seperti tiada penghujungnya. Harimau Malaya hanya gah di pertandingan peringkat Asia Tenggara. Ranking Malaysia merundum terus ke tangga 169 dunia. Malahan pasukan belasahan Malaysia dulu, Bangladesh turut tidak mampu ditundukkan.
Namun begitu, warna kemeriahan stadium yang hampir kosong sering diserikan dengan laungan semangat UM untuk pasukan Negara. Hanya UM yang setia bersama Harimau Malaya bak Hang Tuah setia dengan Sultan Melaka walaupun difitnah dengan maha dasyat.
Kesetiaan yang ditonjolkan turut menjadi pemangkin kepada kebangkitan Harimau Malaya seketika dahulu. Anggota UM berhabisan wang ringgit demi menunaikan tugas menjadi pemain ke12 pasukan di tempat lawan. Pengorbanan yang tidak pernah diucap terima kasih oleh FAM.
Terlalu banyak usul dan cadangan sudah diberikan kepada FAM untuk mengembalikan martabat bolasepak kita. Semua saluran sudah diguna pakai namun tetap dipandang sepi seolah-olah UM diibaratkan sebagai mengajar itik berenang.
Kesabaran yang digenggam bara selama ini akhirnya sampai ke kemuncaknya. Stadium Shah Alam menjadi gelanggangnya sambil disaksikan oleh antara pasukan terbaik Asia iaitu Arab Saudi. Nyalaan suar dan bom asap pada minit ke 88 perlawanan menjadi simbolik kemarahan UM yang sekaligus memaksa perlawanan dihentikan.
Seperti cerita epik Hikayat Hang Tuah, Hang Jebat dikecam dengan pelbagai gelaran yang seolah-olah mereka melakukan satu jenayah besar oleh peminat bolasepak yang sudah jijik dengan pencapaian Malaysia. Mereka tampil menghukum si Jebat yang menderhaka dek angkara keegoan FAM.
Selama 31 tahun FAM ‘menjahanamkan’ bolasepak Negara. Peminat hanya mampu merungut seperti anak kecil yang tidak mendapat apa yang dihajati. Tiada siapa yang berani tampil menjadi si Jebat derhaka.
Masalah Rasuah yang masih membelengui Liga Malaysia dipandang sebelah mata oleh FAM. Mereka
hanya mampu menyatakan tiada bukti kukuh untuk mengenakan tindakan sebagai alasan lapuk. Legasi tapuk pemerintahan turun temurun FAM seakan menghalalkan sahaja dosa nestapa yang berlaku.
Pentadbiran yang pincang tapi masih menganggap mereka profesional. Sebagai badan induk bolasepak Negara, FAM adalah persatuan terkaya di Malaysia. Jumlah tajaan Liga M bernilai puluhan juta ringgit setiap tahun. Jumlah ‘saman’ yang dikutip dari pelbagai jenis denda saban musim juga mencecah ratusan ribu.
Disamping itu, FAM tidak pernah gagal menganjurkan perlawanan sarkas dengan kelab terkemuka Eropah di mana bayaran royalti diterima cukup lumayan walaupun mendapat peruntukan yang banyak daripada kerajaan.
Kemanakah perginya semua duit tersebut walaupun sudah menjadi kewajipan FAM untuk memberi dana yang tidak seberapa kepada setiap kelab ahli gabungan mereka? Kenapakah penyata kewangan FAM tidak pernah di audit? Semua tanda tanya menjadikan integriti FAM terus dipersoal.
Walau bagaimanapun, punca kemarahan UM lebih menjurus kepada kegagalan FAM memperbaiki mutu bolasepak Negara baik dari segi pembangunan pasukan remaja maupun skuad senior. Agak kurang adil jika FAM dituduh tidak melakukan apa-apa namun setiap apa yang dilaksanakan, semuanya gagal memberi impak. Terlalu banyak kelemahan FAM yang menjengkelkan.
Berdasarkan semua ini, wajarkah UM dilayan sebagai penjenayah besar dalam bolasepak Negara? Ramai 'penonton' bolasepak mengambil pendekatan mudah dengan mengambil asap dari smoke bomb dan flare di Stadium Shah Alam sebagai sesuatu yang memalukan. Tewas 0-10 tak malu?
Maka tampillah si petualang sebenar (FAM) mengalih pandangan sinis puak masyarakat yang hanya muncul dikala Harimau Malaya berada di puncak, untuk menghentam UM tanpa belas kasihan dengan bantuan kuasa Polis.
Keaiban yang dilakukan selama ini ditutup erat.
Hanya kerana inginkan perubahan drastik demi bolasepak Negara UM dikecam hebat. Segala jasa seakan dipadam terus. Anggota UM yang ditangkap dilayan sebagai penjenayah kes berat dan 14 lagi yang dicari, dipanggil sebagai buruan polis, ya buruan adalah ayat yang digunakan.
Senyum sakan FAM melihat kesudahannya tanpa mempedulikan hukuman berat bakal menanti hasil dari perderhakaan 30 minit UM yang sememangnya dirancang khas untuk mengenakan mereka.
FAM mungkin tidak sedar UM sebenarnya sudah mendidik Hang Tuah dan Hang Jebat untuk menyuntik satu dimensi baru dalam budaya menyokong bolasepak Malaysia. Budaya ultras sudah menular. Keanggotanya dianggarkan puluhan ribu orang yang terdiri dari anak muda yang cekal dan berpelajaran.
Di mata mereka inilah, UM diangkat sebagai wira sebenar. Meraka yang tidak buta bolasepak amat faham kenapa UM menderhaka. Mereka juga arif tentang Hang Jebat yang menderhaka tapi tetap menjadi wira dalam gunting lipatan sejarah.
Terima kasih kepada UM kerana menjadi wakil kepada semua penderhaka FAM. Pesanan kepada FAM dan anggota ‘kerabat’ mereka di setiap negeri, jujurlah kepada bolasepak Malaysia. Tak usah pegang jawatan demi kepentingan peribadi kerana sudah ramai Jebat bolasepak lahir di seluruh Negara.
Revolusi bolasepak sudah memuncak. Until The Last Rebel.

0 Komen: