11 Januari 2017

Salah tafsir kenyataan tmj tentang anugerah Puskas. Ini jawapan tmj

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim tidak ambil peduli terhadap sesetengah pihak yang tidak memahami kenyataan yang dikeluarkan berhubung kemenangan Mohd Faiz Subri yang berjaya merangkul Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) untuk jaringan gol paling cantik sepanjang 2016, awal pagi semalam.

Beliau yang dikatakan memberi kritikan terhadap kemenangan Mohd. Faiz itu berpendapat, hanya 40 peratus sahaja yang tidak memahami kenyataan yang disampaikan, namun mengambil pendekatan untuk tidak terlalu kisah mengenai hal itu.

“Terpulang kepada mereka. Saya tidak boleh mengawal pemikiran mereka,” katanya.

Tambah TMJ, kenyataannya semalam hanyalah bertujuan untuk mengelakkan semua pihak lupa dengan keadaan sebenar yang melanda industri bola sepak di Malaysia.

“Jangan berasa selesa berada di langit dengan pencapaian tersebut hingga mengabaikan bola sepak negara kita untuk 6 bulan seterusnya.

“Banyak lagi kerja yang perlu dilakukan kerana pencapaian bola sepak kita masih jauh ketinggalan,” katanya dalam wawancara yang disiarkan di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers, hari ini.

Semalam, TMJ telah mengeluarkan kenyataan bahawab kejayaan yang dibawa oleh Mohd. Faiz itu tidak bermakna kerana tidak menggambarkan keadaan sebenar bola sepak negara dan mempersoalkan masalah korupsi, kedudukan dunia dan sistem pengurusan pasukan negara.

Ia dikongsi secara meluas di media sosial, dengan kebanyakannya mengkritik kenyataan tersebut.

Mohd. Faiz, pemuda berusia 30 tahun, yang memegang posisi penyerang di dalam pasukan Pulau Pinang berjaya menerima anugerah tersebut hasil keunikan sepakan percuma tersebut pada majlis gilang-gemilang di Zurich.

Mohd. Faiz juga mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama dikurniakan anugerah sempena nama legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas, yang menikmati kejayaan hebat bersama pasukan Real Madrid pada 1950-an dan 60-an serta bersama pasukan kebangsaan negara beliau.

Pemain Liga Super itu mengetepikan 2 lagi finalis, Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez untuk meraih anugerah yang julung kali dimenangi pemain Portugal, Cristiano Ronaldo pada 2009.

Pemain dari Malaysia itu mengetepikan Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil yang meraih 22.86% undi dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez dengan 10.01% undi.

Pada majlis itu, Ronaldo memenangi Anugerah Pemain Terbaik Lelaki Fifa 2016.-11/1/2017

0 Komen: